Selamat Hari Lahir Othman Busu

1939 May 18. Suatu tarikh yang cukup lama dan mengimbau memoir silam bagi seseorang itu. Suatu masa lampau yang mungkin mencipta sejarah ketika zaman pemerintahan British dahulu. Siapa sangka, pada ketika itu, lahir seorang insan di dunia yang menjadi pemerintah yang hebat. Othman nama diberi.

Pertama, aku ingin memohon ampun jika kata2 ini mungkin bisa meruntunkan jiwamu, tapi inilah hakikat sebenar yang melanda hatiku. Ya, pada mulanya aku memang amat tidak serasi dengan insan yang bernama Othman ini malah sampai satu ketika, aku pernah membenci dan menganggapnya sebagai satu lawan. Segalanya bermula dengan ketidaksefahaman antara kita. Biasalah, engkau orang lama, aku orang baru. Mungkin itu yang membezakan kita.

Kau pernah menonyohkan cili hidup ke mulut ku gara2 aku menipumu tentang keputusan sekolah agamaku, pedas dan peritnya tidak terkira dan aku ingat sampai kini. Kau pernah merotanku dengan rotan buluhmu hingga patah rotan itu dan aku juga kehabisan suara menjerit kesakitan, birat2 di badanku ini masih ada tanda. Trademark cubitanmu memang tiada lawan sehinggakan satu cubitanmu boleh membuatkan kulitku hilang serinya.


Segalanya berubah mengikut arus zaman. Aku semakin dewasa, engkau semakin tua. Aku sangka kau sudah tidak larat lagi untuk memberi segala kekerasan yang ada, tapi kau berikan pula kekerasan melalui leteran yang agak pedas yang mungkin boleh mengalahkan kaum hawa. Aku terima seadanya.

Tapi, baru kini aku tersedar. Saat pertama aku melihat kau menitiskan air mata, ketika aku mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan besarku yang pertama. Pada ketika itu, jantung ku berhenti berdegup. "Adakah ini Othman yang aku kenal yang keras dan tetap dengan pendirian", bisikku. Segalanya menjadi tanda tanya. Setelah sekian lama menjadi tanda tanya, baru kini aku mendapat jawabannya. Kini.

Kini, aku terkhayal seketika. Terpandang akan sekolah lamaku mengingatkan aku pada ketika dahulu. Angin membidas terus ke wajahku, membuatku termenung sejenak akan kisah silamku. "Ahhhh, alangkah seronoknya jika masa ini dapat diputarkan", aku mengeluh. Tapi apakan daya, semua itu diluar kemampuan seorang insan yang diciptaNya.

Disaat aku bermonolog dalaman, aku teringat akan Othman. Dia yang sudah tua dan berumur dan sekarang sering kali jatuh sakit. Tatkala umur semakin senja, segalanya tidak mustahil untuk berlaku. Othman yang aku kenal tidak lagi seperti dahulu. Yang dahulunya segak dan tegap, kini hanya duduk di kerusi roda melihat aku, melihat aku membuat aktiviti riadahku dikala petang menjelma.


Makan minummu aku ambilkan, solat Jumaatmu aku uruskan, segala urusan yang diluar batasanmu aku ringankan. Hanya kerana engkau sudah tidak seperti dahulu. Aku menangis, aku menangis dan rindu, dan rindu akan cubitanmu yang sering hinggap di permukaan kulitku. Rindu akan rotan yang seringkali mencari mangsa dan mangsa2nya adalah aku. Aku rindu segala-galanya.

Aku rindu disaat kita beriadah bersama2. Aku rindu akan gurau sendamu yang tidak kering gusi walaupun engkau seringkali mendiamkan diri. Aku rindu akan kerianganmu dahulu. Segalanya berubah. Tapi, ada satu yang tidak berubah. Kerana engkau tetap AYAHku.


Engkau mendidikku agar aku menjadi orang. Engkau mengajarku erti kehidupan. Engkau mengajarku tentang kehormatan diri. Engkau mengajarku mengaji. Engkau mengajarku ABC. Engkau yang menyiapkan kerja rumahku dikala aku tidak berjaya untuk menyelesaikannya. Engkau tidak membezakan yang sulung mahupun bongsu. Engkau lakukan semua itu kerana AKU.

Aku menangis sekali lagi. Aku tidak mungkin akan hidup sebegini tanpamu. Akan tetapi, mampukah kita untuk menanganinya jika salah satu daripada kita pergi dahulu mengadapNya. Biarkanlah itu menjadi urusanNya. Tapi, andai kata engkau atau aku pergi dahulu. Dengarkanlah dahulu kataku ini. Aku sangat sayang dan cinta padamu AYAH. Tanpamu, aku bukan manusia dan aku bukan aku.

Selamat Hari Lahir AYAH.


2 comments: